Feeds:
Posts
Comments

Archive for June 11th, 2011

Dalam akhbar Berita Harian bertarikh 7 dan 8 Jun 2011, isu bahasa SMS mendapat tempat di muka hadapan. Isu bahasa SMS ini hangat diperkatakan di antara 2004 dan 2006. Kini isu bahasa kembali semula di dada akhbar. Tajuk Berita Harian 7 Jun 2011 berbunyi “Bahasa terlarang” dan tajuk 8 Jun 2011 pula ialah “Tesis bahasa SMS”. Setelah meneliti kedua-dua laporan berita tersebut, ia kelihatan seolah-olah menggambarkan suasana cemas dalam masyarakat akibat bahasa SMS yang digunakan oleh pelajar dalam peperiksaan, tugasan, dan tesis. Ditambah pula dengan kebimbangan kononnya bahasa SMS boleh merosakkan bahasa baku dan suasana ini dianggap amat kronik.

Beberapa pihak meminta saya mengulas isu ini kerana mereka mengetahui memang saya ada membuat kajian mengenai bahasa SMS ini sejak enam tahun yang lalu.

Bagi mengulas isu ini, saya ingin bahagikan perbincangan kepada 3 perkara.

a. kod bahasa SMS

b. penggunaan bahasa SMS dalam kontek formal dan tidak formal

c. etika dalam menggunakan kemudahan SMS

Ketiga-tiga perkara tidak harus dicampuradukkan dan kemudian cuba membuat kesimpulan terhadap bahasa SMS. Dalam laporan akhbar berkenaan, saya dapati ketiga-tiga perkara ini dicampuradukkan sehingga menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu dalam masyarakat kita.

A. Kod bahasa SMS

Setiap bahasa ada kod yang terdiri daripada simbol. Simbol ini boleh terdiri dari ikon, lakaran, atau sistem abjad dalam bentuk tulisan. Kod Morse digunakan untuk telegraf, kod Braille digunakan oleh orang buta atau cacat penglihatan, kod trengkas digunakan oleh setiausaha, dan kod militari digunakan oleh tentera.

Bahasa SMS mempunyai kod yang terdiri daripada singkatan sepertimana kod yang disebutkan di atas. Kita tidak pernah menghukum kod di atas sebagai merosakkan nahu dan struktur ayat serta ejaan dalam bahasa Melayu baku. Mengapa? Pertama, ia adalah kerana ramai dari kita yang tidak tahu membaca kod berkenaan. Kedua, kod berkenaan tidak digunakan dalam paparan umum seperti dalam media massa dan media elektronik mahupun dalam karangan atau peperiksaan atau tesis pelajar biasa yang tidak termasuk dalam golongan OKU. Ketiga, kod berkenaan digunakan dalam konteks komunikasi tertentu, tujuan tertentu dan lebih khusus.

Oleh itu, pengunaan kod berkenaan tidak bersalahan dan tidak merosakkan bahasa baku. Begitu juga dengan bahasa SMS yang ditulis dalam kod singkatan dan simbol yang digunakan untuk menghantar mesej kepada individu tertentu dan bersifat peribadi. Oleh kerana mesej itu bersifat peribadi dan bukan awam, maka bahasa SMS yang kelihatan bercampur aduk bahasa Melayu dan Inggeris, salah nahu, struktur mahupun ejaan tidak boleh dihukum sebagai salah atau boleh merosakkan bahasa kebangsaan.

B. Penggunaan bahasa SMS dalam kontek formal dan tidak formal

Kemudahan Sistem Pesanan Ringkas atau SMS yang terdapat dalam telefon bimbit telah membantu mempercepatkan komunikasi dalam kalangan rakyat. Komunikasi ini boleh bersifat formal dan tidak formal. Dalam konteks formal, mesej yang dihantar dalam SMS ditulis dengan ayat yang betul dan baik mengikut nahu dan ejaaan rasmi. Sebaliknya dalam konteks komunikasi tidak formal, lazimnya mesej dihantar melalui SMS dengan menggunakan kod singkatan dan simbol yang kelihatan “salah” pada nahu dan ejaan. Sebab utama penggunaan kod singkatan dalam bahasa SMS didorong oleh faktor penjimatan wang dan faktor kesegeraan dalam konteks komunikasi tidak formal.

Pada hakikatnya, dalam konteks komunikasi tidak formal, tidak salah kita gunakan ayat dan ungakapan dalam ayat yang tidak lengkap, ayat yang tergantung, ayat yang bercampur bahasa atau dialek sepertimana kita lakukan dalam perbualan harian kita secara lisan. Bahasa perbualan ini dikenali sebagai bahasa slanga atau bahasa basahan. Kita mendengar sesetengah orang bukan Melayu bertutur dalam bahasa Melayu dengan melanggar nahu, menggunakan kosakata yang salah dalam perbualan mereka dan menyebut perkataan dalam bahasa Melayu secara tidak tepat tetapi kita tidak menghukum mereka sebagai merosakkan bahasa baku. Begitu juga dalam konteks komunikasi SMS tidak formal, pengguna tidak boleh dihukum sebagai menyalahgunakan bahasa Melayu dan dihukum sebagai merosakkan bahasa baku.

Kod bahasa baku memenuhi ruang media cetak dan media elektronik rasmi, tetapi kod Morse, kod Braille, kod militari, dan kod trengkas tidak pernah menjadi bahan bacaan umum dalam konteks komunikasi formal. Begitu juga dengan kod singkatan dalam SMS tidak harus digunakan dalam paparan awam termasuklah tugasan rasmi di sekolah. Jika ia berlaku, maka menjadi tanggungjawab guru untuk mengajar, mendidik, membimbing, dan mengasuh pelajar menggunakan bahasa yang betul dalam penulisan rasmi dan bukan menyalahkan pelajar kerana menggunakan kod singkatan SMS apabila mereka menghantar mesej dalam telefon bimbit atau menulis kod SMS dalam jaringan sosial seperti Facebook, Twitter, e-mail, atau semasa mereka chat dalam Skype atau Messenger mahupun dalam Black Berry.

C. Etika dalam menggunakan kemudahan SMS.

Menggunakan kod SMS bagi menghantar mesej harus bersandarkan kepada etika atau adab. Etika penggunaan SMS jarang dibincangkan oleh masyarakat tetapi penggunaan bahasa SMS yang kelihatan “salah” nahu dan “salah” ejaan sering digembar-gemburkan dan dihukum sebagai merosakkan bahasa.

Kalau menghantar email ada etika dan panduannya, https://supyanhussin.wordpress.com/2011/01/28/18-common-work-e-mail-mistakes/, kalau perbualan telefon ada etika dan panduannya, dan kalau etika menggunakan telefon pernah dibicarakan panjang lebar, maka penggunaan bahasa SMS harus ada etika dan panduannya juga.

Dalam laporan Berita Harian 8 Jun 2011, ada pensyarah merasa tersinggug dengan SMS yang diterima dari pelajarnya dan dianggap sebagai tidak menghormati pensyarah berkenaan. Dalam hal ini, isu sebenar bukan bahasa SMS merosakkan bahasa baku tetapi etika dalam menggunaankan bahasa SMS.

Etika penggunaan SMS ini boleh disandarkan kepada urusan rasmi dan budaya yang berasaskan nilai murni yang universal. Antaranya,

1. Apabila kita berkomunkasi secara formal dengan mana-mana pihak, maka hendaklah kita menggunakan bahasa baku dengan menggunakan nahu yang betul dan ejaan yang betul dalam SMS kita.

2. Apabila kita menulis karangan, membuat tugasan, atau menjawab soalan dalam peperiksaan, maka elakkan penggunaan kod bahasa SMS.

3. Apabila menggunakan kod SMS, rakyat Malaysia harus cuba sebaik mungkin mengekalkan jatidiri bahasa kebangsaan dengan mengelakkan menggunakan kod yang melamapau seperti dier (dia), ilebiu (i love you), mndelete (memadam) dan beberapa contoh lain dalam kertas kerja dan kajian saya yang dirumuskan dalam “Kategori seterusnya yang ketujuh ialah perkataan SMS yang melampau” di https://supyanhussin.wordpress.com/2009/07/11/bahasa-sms/

Saya ingin menambah etika seterusnya tetapi wajar saya bahaskan dahulu penggunaan kod SMS dalam TV dan akhbar.

Apa yang dikesali ialah TV sebagai media menjadi tempat rasmi bagi pelajar mengutip ejaan yang tidak betul apabila kod bahasa SMS dipaparkan dalam kaca TV. Pada pandangan saya, mesej SMS adalah mesej peribadi dan ia tidak harus dipaparkan dalam kaca TV untuk tontonan awam. Lihat Astro saluran 109 di mana terdapat mesej SMS peribadi pada rolling carpet sebelah kanan paparan TV, yang dihantar pada individu tertentu, dipenuhi dengan kod singkatan yang sukar difahami oleh orang dewasa atau orang tua. Malah mesej SMS pada dalam bentuk markee atau electronic bulletin board pada paparan bahagian dalam TV 1, TV2, dan TV3 di waktu pagi (jam 7-9), terdapat kod bahasa SMS yang dipaparkan dengan singkatan bahasa SMS. Setiap mesej yang dihantar dalam TV ada yuran atau cas yang dikenakan dan yuran ini memberi keuntungan kepada pihak TV. Kalau kerana wang dan keuntungan, TV awam membenarkan penularan bahasa SMS, maka remaja khususnya akan terikut-ikut dengan penulisan bahasa SMS secara rasmi dalam tugasan di sekolah. Dalam pendidikan, ada satu teori dipanggil modelling theory oleh Albert Bandura, yang menyatakan bahawa pelajar mudah meniru atau mengikut apa yang dilihat dan diajar pada mereka. Kanak-kanak dan remaja khususnya adalah golongan yang mudah meniru, mengikut, dan melakukan apa orang dewasa buat atau apa yang terdedah kepadanya di khalayak umum.

Lihat video ini yang menunjukkan bagaimana secara tabiinya kanak-kanak dan remaja mengikut dan meniru apa yang orang dewasa lakukan sepertimana disebutkan dalam modelling theory.

[youtube:http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=7d4gmdl3zNQ%5D

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia harus membuat polisi baru mengenai hal ini. Dewan Bahasa dan Pustaka serta ahli-ahli bahasa dari Jabatan Bahasa di universiti tempatan, Jabatan Linguistik  di universiti dalam negara ini, dan pertubuhan bukan kerajaan seperti GAPENA, Yayasan Karyawan Malaysia dan Persatuan Linguistik Malaysia harus menjadi tempat rujukan untuk membuat polisi berkaitan dengan kelestarian bahasa Melayu termasuklah isu perkataan “mantan” yang dibangkitkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia baru-baru ini.

Dalam beberapa kertas kerja saya yang sempat dibentangkan dan diterbitkan, saya pernah menekankan peri pentingnya polisi ini agar TV dan media massa mengambil tanggungjawab dalam memulihara bahasa Melayu dan jatidiri bahasa Melayu dan bukan mengaut keuntungan semata-mata. Dalam akhbar juga, ada ruangan di mana ia memaparkan bahasa singkatan SMS yang secara tidak langsung mendidik remaja untuk menulis bahasa singkatan. Di Brunei tiada bahasa singkatan SMS dalam akhbar mahupun dalam TV sepanjang kajian saya, tetapi di Indonesia, penularan bahasa singkatan memang mencemaskan sehingga minyak tanah disingkat menjadi “minah”!

Dengan adanya polisi seperti ini dalam dasar penyiaran dan penerbitan negara, sekurang-kurangnya kod bahasa SMS ini boleh dikawal dalam kontek komunikasi tidak formal. Ia boleh menyedarkan orang ramai dan pelajar khususnya perbezaan antara bahasa rasmi dan bahasa tidak rasmi.

Dalam isu penguatkuasaan penggunaan bahasa SMS ini, tiada siapa boleh menghalang pengguna dari menggunakan kod bahasa SMS yang terdiri daripada singkatan, simbol, atau emotikon yang dihantar melalui SMS dalam komunikasi tidak formal.

Bagaimanapun, seperti yang disebutkan di atas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia boleh menguatkuasakan penggunaan singkatan SMS dengan memastikan mesej SMS yang dihantar ke TV dan media ditulis dengan bahasa lengkap. Akhbar dan TV boleh menguatkuasakan penggunaan bahasa SMS yang lengkap dalam penerbitan dan penyiaran mereka. Guru boleh menguatkuasakan pengunaan bahasa yang betul dan menghukum pelajar yang menggunakan kod bahasa SMS dalam tugas rasmi. Majikan juga boleh memastikan bahasa rasmi yang digunakan dalam surat menyurat, minit mesyuarat, dan dokumen rasmi yang mana kod bahasa SMS tidak digunakan.

Dengan kupasan isu polisi ini, saya ingin menambah etika seterusnya:

4. Media massa dan media elektronik harus mengelakkan dari memaparkan kod singkatan bahasa SMS dalakm akhbar dan TV kecuali ditulis semula dalam bahasa lengkap bagi mendidik kanak-kanak dan remaja nahu dan ejaan yang betul.

Laporan berita mengenai bahasa SMS dalam akhbar tidak harus melihat yang negatif sahaja. Maklumbalas yang diterima dari guru dan pensyarah mengenai adanya pelajar menggunakan kod singkatan SMS dalam tugas rasmi dikatakan “amat kronik”. Betulkan kronik? Sejauhmanakah seriusnya fenomena ini? Berapa kes pelajar yang berbuat demikian? Adakah pelajar yang menggunakan kod singakatan SMS itu sememangnya tidak mahir berbahasa dan tidak pandai menulis atau datang dari kalangan pelajar cerdik?

Tidak ada statistik yang diberikan. Tidak ada contoh tulen yang diberikan kecuali senarai kod SMS yang bersifat terpencil dan diletakkan dalam bentuk jadual dalam akhbar berkenaan. Tidak ada contoh tulen dari kertas tugasan pelajar yang diberikan.

Saya percaya kes pelajar yang menggunakan kod singkatan SMS dalam tugasan memang ada, tetapi kebanyakan kes ini adalah kes terpencil dan pelajar yang melakukan perbuatan demikian bukan dari kalangan pelajar yang cekap  berbahasa.

Di bawah ini saya berikan contoh tulen penggunaan singkatan kod SMS oleh pelajar dalam tugasan rasmi dalam subjek bahasa Inggeris.

Di dalam contoh ini, kita lihat pelajar berkenaan menggantikan “you” dengan singkatan “u”, manakala contoh di bawah pelajar tersebut menggantikan “friends” dengan “frenz”. Ini adalah contoh salahguna kod bahasa SMS dalam tugasan bagi  subjek bahasa Inggeris oleh pelajar di salah sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Kalau dilihat pada hasil tugasan pelajar ini, bagi kita yang memahami bahasa Inggeris boleh menilai samada pelajar berkenaan mahir berbahasa Inggeris atau sebaliknya. Lazimnya pola penggunaan kod SMS dalam tugas rasmi ini dilakukan oleh pelajar yang lemah berbahasa. Oleh itu, saya ingin membuat hipotesis bahawa pola yang sama boleh dilihat pada tulisan pelajar yang lemah dalam kemahiran menulis dalam bahasa Melayu. Satu kajian akan dijalankan bagi membukti kebenaran atau ketidakbenaran hipotesis ini. Buat masa ini, kita boleh andaikan bahawa kes ini tidak kronik dan tidak secemas yang dilaporkan. Masyarakat tidak harus panik dalam hal ini.

Dalam masa yang sama, masyarakat dan ahli bahasa harus melihat aspek positif yang timbul dalam perkembangan bahasa SMS ini.

Pertama, terdapat beratus perkataan seperti ini di bawah yang sudah diterima pakai dalam bahasa rasmi kita.

Tkt. = Tingkat

Sg. = Sungai

JLN = Jalan

Lrg. = Lorong

Dtk = Datuk (Keramat)

Kg. = Kampung

dll. = dan lain-lain

dsb = dan sebagainya

Apakah dengan menggunakan perkataan ini dalam bahasa SMS dianggap sebagai satu kesalahan? Apakah perkataan pendek ini merosakkan bahasa Melayu baku? Pastinya jawapannya tidak.

Soalan seterusnya, apakah jalan menambah perkataan yang boleh dipendekkan ini sudah tertutup? Tidak bolehkah lagi DBP atau badan berautoriti menambah lagi perkataan yang boleh diterima pakai secara lazim?

SMS memberi ruang kepada rakyat dan penutur bahasa Melayu untuk berkreatif dalam menghantar mesej dengan memendekkan perkataan kerana ia boleh emnimatkan ruang dan wang.

Dengan kreativiti yang terkawal, bahasa Melayu akan terus relevan dengan peredaran zaman serta mengekalkan identiti diri dan bangsa. Bahasa yang hidup ialah bahasa yang mempunyai nilai sosial, komunikasi, dan ekonomi.

Kedua, bagaimana dengan kosakata baru yang boleh dipelajari dari usaha kreatif yang berlaku dalam kod singakatan SMS.

Misalnya, perkataan “tiba-tiba” dieja dengan “tetiba” dan kadang-kadang dieja dengan “kekadang”. Dalam bahasa basahan harian atau kolokial, kita menyebut secara spontan secara lisan “tetiba” dan “kekadang” khususnya dalam konteks komunikasi tidak formal.

Bukankah ejaan ini kreatif dan tidak menghilangkan makna perkataan asal? Apakah perkataan yang dieja seperti ini tidak boleh dimasukkan dalam senarai kosakata rasmi?

Kalau “dedaun” (dari daun-daun) boleh disebut dalam puisi dan novel, dan kalau “jejari” (dari jari-jari) boleh disebut pada roda basikal, mengapa “tetiba”, “kekadang”, “rerama”, “kekupu” dan beberapa perkataan yang dalam kategori yang sama tidak boleh diterima dalam bahasa baku? Bukankah bahasa Melayu ini suatu bahasa yang dinamis dan bahasa yang hidup?

Kalau bahasa baku boleh terima perkataan dari bahasa Inggeris seperti komitmen, inovasi, standard, komputer, tisu yang dimelayukan, mengapa kita tidak boleh menerima perkataan yang berasal dari bahasa Melayu sendiri dan yang mempunyai jatidiri bahasa Melayu dalam bahasa baku? Bukankah ini salah satu kebaikan dari perkembangan bahasa SMS yang berlaku dalam negara ini?

Satu perkara yang agak menarik dan positif semasa saya menjalankan kajian mengenai bahasa SMS ini ialah bahasa dialek, bahasa etnik yang bersifat lisan (tidak bertulis), bahasa yang hampir mati, dan bahasa yang jarang dilafazkan sudah mula mendapat nafas baru natijah dari adanya kemudahan SMS ini. Bahasa Kedah, Kelantan, Minang, Jawa, Iban, Mendeling, dll di Malaysia mula membanjiri dunia SMSM dalam kalangan anak muda, dan kesemua ini menunjukkan penghargaan semula bahasa dialek atau etnik yang dijangka pupus dalam generasi akan datang. Di Indonesia, lebih 300 kumpulan etnik dengan pelbagai bahasa mulai dapat merasakan bahasa etnik yang hampir pupus dan tidak digunakan oleh generasi muda sudah mula digunakan dalam bahasa SMS. Sesetengah bahasa etnik tidak menggunakan huruf roman tetapi menggunakan skrip lama, tetapi kini bahasa itu “diromankan” bersandarkan kepada beberapa teknik termasuk teknik homophone. Perkembangan ini adalah suatau yang menarik dan belum diteroka oleh penyelidik dan wartawan di Malaysia dan Indonesia setakat ini. Bolehkah kita memahami kod SMS ini: “nk wat pa pun biaq pi lah. hng pk lah sndiri. ak x lrat nk hbaq kt hng dh” dari bahasa utara; ‘apo kono ko jang; klu ko raso baik bueklah, x koso den nk ckp lagi dh” dari bahasa N9. Kalu org jowo macam mana lak?

Sebagai kesimpulan untuk ulasan ini, saya percaya generasi masa kini, iaitu “push-button generation” (atau generasi Y) ini lahir dan dibesarkan dalam dunia teknologi baru termasuk bahasa SMS. Dalam proses sosialisasi yang mereka lalui, mereka tidak boleh lari dari berhadapan dengan fenomena ini. Oleh itu, kita sebagai orang dewasa, khususnya ahli bahasa dan pembuat polisi serta pelaksana polisi harus mengambil peranan kemimpinan untuk mengendalikan fenomena bahasa SMS ini dengan hemat dan cermat dan bukan menuding jari kepada generasi Y ini dan menyalahkan mereka kerana merosakkan bahasa baku.

Sila baca lagi rumusan saya di https://supyanhussin.wordpress.com/2009/07/11/bahasa-sms/ yang bersandarkan kepada kajian masa lalu dan kajian saya yang masih berjalan.

Read Full Post »