Persiapan Lailatul Qadr tidak bermula pada 10 malam yang akhir, tapi bermula pada malam hari pertama berpuasa Ramadan. Memperbanyakkan NUR dalam diri bermula di awal puasa lagi dalah satu yang dituntut kerana apabila banyak NUR dalam diri, maka di akhir Ramadan, tidak sukar untuk mengenali orang banyak NUR.
Apa itu NUR? NUR adalah petunjuk (taufik), hidayah, pahala, ikhlas, jujur, dedikasi, tunduk kepada Allah, bersih, taqwa, baik hati, mujahadah, hati lapang, merendah diri (tawadhu’), ehsan, berhati-hati (wara’), positif, maaruf, syukur, rahmat, barokah, redha, suka membantu orang, dan pemurah. NUR akan bertambah apabila kita melakukan perkara di bawah ini. Ada sebahagian yang dilakukan ini dengan banyak, makan bertambah NUR dalam diri.
- Puasa ada NUR, ia menjernihkan roh, jiwa, emosi, minda, dan perbuatan diri. Lagi banyak berpuasa selain daripada puasa Ramadan, akan bertambah NUR dalam diri kita.
- Solat ada NUR, apabila perbanyakkan solat sunat seperti solat taraweeh, solat tahajjud, solat taubah, dan solat witir, selain daripada solat wajib dalam bulan Ramadan, maka semakin banyak NUR dalam tubuh kita.
- Air wuduk adalah NUR, air wuduk yang jatuh dari anggota yang diwuduk akan membersihkan dosa kecil dalam diri kita; justeru menambah NUR.
- Membanyakkan berzikir dengan beristighfar (astaghfirullah), bertasbih (subhanAllah), bertahmid (alhamdulillah), bertakbir (Allahuakbar) akan menambah NUR dalam tubuh.
- Membanyakkan sedeqah akan membersihkan hati dari sifat bakhil, tamak, dan cinta kepada dunia, maka sedeqah termasuk zakat fitrah, akan menambah NUR dalam tubuh badan.
- Memberi makan kepada orang buka puasa akan beroleh pahala orang berpuasa, maka NUR akan terus bertambah dalam diri orang yang memberi.
- Membanyakkan menolong orang susah, orang miskin dan orang yang memerlukan di bulan Ramadan ini dalam apa jua bentuk akan menambah NUR dalam tubuh badan kita.
- Membanyakkkan membaca Al Quran, mahupun mendengar bacaan Al Quran, akan menambah NUR dalam tubuh badan kita.
- Membanyakkan solawat atas Nabi akan menambah NUR dalam diri.
- Membuat apa sahaja yang maaruf, maka akan bertambah NUR dalam diri.
Apabila banyak NUR dalam diri, maka NAR akan berkurangan dan NAR menjadi lemah dalam diri. NUR boleh melemahkan dan memadam NAR.
Apa itu NAR? NAR ialah gelap, sesat, dosa, khianat, malas, sombong, takabbur, kotor, durhaka, lemah, sombong, ‘ujub, tidak peduli, maksiat, negatif, tidak bersyukur, tidak redha, hati gelisah selalu, dengki, tamak,mungkar, haloba, dan hasad.
Apabila banyak NAR dalam diri, maka diri akan lebih dekat dan mudah terdedah kepada syaitan atau sifat syaitan. Banyak NAR dalam diri bermakna kualiti diri merosot. Banyak NAR dalam diri bermakna lebih mudah terkena gangguan atau pengaruh jin dan syaitan termasuk sihir.
Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.
Puasa Ramadan adalan bulan ibadah latihan untuk menambah NUR dalam diri bagi melemahkan dan memadam NAR. 10 Ramadan pertama adalah rahmat, 10 malam kedua adalah keampunan, dan 10 malam akhir adalah pelepasan dari siksa api neraka. Orang yang banyak melakukan perbuatan yang menambah NUR dari awal Ramadan lebih beruntung kerana “bilangan dan saiz” NUR lebih banyak dan lebih besar serta lebih kuat.
Malam Qadr adalam anugerah Allah kepada hamba-hambaNya yang banyak NUR. Yang banyak NUR akan lebih “dekat” dengan Allah dari mereka yang kurang NUR. Maka marilah kita banyakkan NUR dalam diri kita dari awal Ramadan tanpa henti hingga hari akhir puasa Ramadan kali. Semoga kita terpilih mendapat anugerah malam Qadr, insya Allah. Amin.
Lailatul Qadar lebih baik dari 1000 bulan
Allah Ta’ala berfirman,
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
“Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.” (QS. Al Qadar: 3). An Nakho’i mengatakan, “Amalan di lailatul qadar lebih baik dari amalan di 1000 bulan.” (Lihat Latho-if Al Ma’arif, hal. 341). Mujahid, Qotadah dan ulama lainnya berpendapat bahwa yang dimaksud dengan lebih baik dari seribu bulan adalah shalat dan amalan pada lailatul qadar lebih baik dari shalat dan puasa di 1000 bulan yang tidak terdapat lailatul qadar. (Zaadul Masiir, 9: 191).
Selamat menjalani puasa Ramadan yang mulia, semoga diberkati dan dirahmati serta mendapat keampunan dari Allah SWT. Lakukanlah segalanya kerana mencari redha Allah semata-mata.
Sekian. Wasalam
Alfakir Supyan
5 Jun 2016
[…] https://supyanhussin.wordpress.com/2016/06/05/nur-nar-dan-lailatul-qadr/ […]